Wednesday, August 06, 2008

Hamid Albar: Cadangan boikot rugikan Umno

PUTRAJAYA: Tindakan memboikot pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh hanya merugikan Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, BN mesti bertanding bagi menjamin kebajikan rakyat di kawasan berkenaan, walaupun ia membabitkan kos pengendalian yang tinggi.

"Umno mesti bertanding dan selaku ahli kita hendaklah menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon," katanya kepada wartawan selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, supaya parti itu memboikot pilihan raya kecil itu.

Hadir sama, dua Timbalannya, Datuk Chor Chee Heung dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Mengenai persiapan polis untuk pilihan raya kecil itu, Syed Hamid berkata, bilangan anggota yang akan ditempatkan di kawasan berkenaan cukup untuk memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

"Tidak perlulah untuk mengumumkan jumlah anggota yang akan ditempatkan di Permatang Pauh kerana yang pasti jumlahnya mencukupi untuk memastikan kelancaran pilihan raya berkenaan sesuai dengan tanggungjawab kita menjaga ketenteraman awam," katanya. - Berita Harian

Usaha halang Anwar sertai pilihan raya Permatang Pauh

TINDAKAN mengheret Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah sebaik sahaja pengumuman mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh dibuat adalah usaha menghalang beliau menyertai pilihan raya tersebut.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam respons awalnya terhadap perkembangan tersebut kepada Harakahdaily hari ini.

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 10.00 pagi esok.

Sebelum itu, Kamarudin telah mengirimkan satu SMS kepada Harakahdaily menyatakan Anwar akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Kamarudin, paling menghairankan tindakan ini dibuat sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pengumuman penting mengenai pilihan raya Permatang Pauh yang disebut Anwar menjadi medan kembali ke arena politik.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyatakan bahawa tindakan itu berniat jahat dan sengaja dilakukan tatkala kerajaan melihat rakyat memberi sokongan penuh kepada Anwar.

AMK turut kesal dengan perkembangan itu dan menyifatkan ia tindakan yang menyempitkan lagi ruang demokrasi, katanya.

Justeru atas solidariti kepada Anwar, AMK telah menghubungi semua petugasnya untuk mengadakan himpunan menyokong Anwar di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9.00 pagi esok.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos

SPR tetapkan 16 Ogos Hari Penamaan calon

PUTRAJAYA, 6 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pada 16 Ogos dan jika ada pertandingan, pengundian pada 26 Ogos ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengumumkan perkara itu berkata sehubungan itu, SPR menentukan Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Jun dan dikemaskinikan sehingga 31 Julai lalu digunakan dalam pilihan raya kecil itu.

"Seramai 58,459 pemilih yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pemilih pos adalah layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil bagi P.44 Permatang Pauh ini, " katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan selepas SPR mengadakan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil itu.

Kenyataan itu diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said kepada para wartawan di lobi Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai wakil rakyat berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388.

Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno.

Abdul Rashid berkata writ pilihan raya kecil itu akan dikeluarkan esok (7 Ogos) manakala notis pula dikeluarkan hari berikutnya (8 Ogos).

Katanya, SPR telah melantik untuk pilihan raya itu, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Roslan Yahaya sebagai Pegawai Pengurus dan tiga penolong Pegawai Pengurus iaitu Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai Zainol Abidin Md Noh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, dan Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Seberang Perai Tengah Azizal Ahmad.

Abdul Rashid mengingatkan dalam tempoh pilihan raya kecil ini dijalankan, amat penting semua pihak mematuhi arahan pihak keselamatan dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

"Oleh itu, semua pihak terutamanya parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu lain yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang telah ditetapkan. - Bernama

Friday, August 01, 2008

PAS, DAP bantu Anwar di Permatang Pauh

PARTI gabungan Pakatan Rakyat, PAS dan DAP menerima keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil di situ.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata kedua-dua parti Pakatan Rakyat itu akan mengerahkan jentera parti masing-masing untuk memastikan kemenangan Anwar, yang juga Penasihat PKR.

Mereka mengakui telah dimaklumkan berhubung keputusan Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang.

Dr Wan Azizah, 55, mengumumkan keputusannya pada persidangan akhbar di ibu pejabat PKR hari ini, yang turut dihadiri Anwar dan anaknya Nurul Izzah, Anggota Parlimen Lembah Pantai.

Ketua Penerangan PAS Pusat Mahfuz Omar menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu adalah sesuatu yang baik dan bijak.

"Saya difahamkan, keputusan yang beliau buat itu juga adalah bagi memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lepas, untuk melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

"Kami anggota Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu.

Kami juga mengalu-alukan kemasukan kembali Anwar ke gelanggang politik khususnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya.

Berhubung kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau berkata PR membincangkan sama ada kekosongan itu perlu diisi sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Mahfuz berkata Dr Wan Azizah telah menunjukkan ketokohan sebagai anggota Parlimen dan Ketua Pembangkang yang berwibawa.

Mahfuz, yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena, yakin Anwar akan mendapat sokongan penduduk di Permatang Pauh.

"Kami berharap Anwar bukan sahaja akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, malah beliau juga akan menjadi Ketua Kerajaan," katanya.

"Kami akan memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh," kata Kit Siang ketika dihubungi.

Reaksi Anwar Ibrahim

PENASIHAT PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada pengorbanan isterinya, Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya, sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Anwar berkata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

Katanya, pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh keputusannya bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Menurutnya lagi, tokoh utama DAP Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menghadiri sidang akhbar tersebut sebagai menyatakan sokongannya.

Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

"Sebelum ini saya berhasrat bertanding di Kulim-Bandar Baharu, tetapi setelah melihat kerenah pentadbiran dan undang-undang, petisyen yang sedang berlangsung, kami tidak jangka akan selesai dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah melepaskan kerusi parlimennya, Anwar berkata, ia akan dimaklumkan minggu depan.

Beliau berkata, perkata itu akan dibincangkan dengan dua lagi parti dalam Pakatan.

Ditanya sama ada pilihan itu dibuat kerana Permatang Pauh merupakan kawasan yang paling selamat untuknya, secara berseloroh beliau berkata "semua kerusi agak selamat" untuknya.

Diminta memberikan ulasan jika bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu, Anwar hanya menjawab: "Itu keputusan Umno."

Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.

Beliau berkata, sasarannnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September depan seperti yang disebut-sebut beliau "masih seperti dijadualkan".

Sumber: Malaysiakini

Wan Azizah tidak pernah tewas di Permatang Pauh - Malaysiakini

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sejak memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-10 beliau tidak pernah tewas selepas itu dan berjaya mempertahankannya sehingga Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.

Sebelum itu, kerusi berkenaan diwakili oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 17 tahun atas tiket BN.

Ditanya tindakan beliau meletakkan jawatan menyebabkan hilangnya seorang pemimpin wanita dalam Pakatan, Wan Azizah berkata:

"(Pemimpin wanita) yang lain akan datang. (Kehilangan) ini hanyalah untuk jangka masa yang pendek. Saya rasa, saya boleh menyumbang (tenaga) dalam bentuk yang lain."

Wan Azizah positif terhadap kemampuan suaminya menghadapi pilihanraya kecil akan datang walaupun sedar segala kekuatan pihak lawan akan ditumpukan ke kawasan parlimen itu.

"Saya mengalu-alukan segala pembangunan yang akan datang. Sudah dua penggal saya di sana, Tetapi kita mesti menghadapinya. Saya percaya rakyat di permatang Pauh lebih berminat pada Anwar. Anwar pernah (berkhidmat) di sana sebelum ini," katanya.