Friday, August 01, 2008

Kerusi Permatang Pauh kosong, Wan Azizah letak jawatan

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam, yang akan memberi maklum balas Isnin ini. "Keputusan ini sejajar dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan Pusat tahun ini dan ia dilakukan selepas saya mendapat persetujuan keluarga serta rakan lain dalam PAS, DAP serta PKR.

"Saya berterima kasih kepada pengundi Permatang Pauh yang menyokong saya sejak tiga penggal lalu. Saya bagaimanapun akan kekal sebagai Presiden PKR dan Pengerusi Yayasan Aman," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR, di sini semalam.

Turut hadir ialah Anwar; anak mereka, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai; Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; wakil DAP yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan peguam Anwar, Sivarasa Rasiah.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh disandang Anwar atas tiket Barisan Nasional (BN) antara 1982 hingga beliau dipecat daripada Umno pada September 1998. Pada 1999, Wan Azizah memenangi kerusi itu atas tiket PKR dan berjaya mengekalkannya sehingga pilihan raya umum Mac lalu.

Peletakan jawatan itu sekali gus mengakhiri kedudukan Wan Azizah selaku ketua pembangkang wanita pertama di Parlimen dan beliau menjelaskan, penggantinya akan dipilih selepas Pakatan Rakyat berbincang mengenainya.

Wan Azizah berkata, beliau percaya Anwar mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk memacu pembangunan ekonomi negara dan integriti untuk menyatukan rakyat.

Anwar, pada sidang media itu, berkata beliau terharu dan amat terhutang budi kepada isterinya kerana sanggup melepaskan kerusi itu untuk memberi laluan kepadanya.

Katanya, pucuk pimpinan PKR sudah berbincang dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang memberi sokongan padu kepada keputusannya untuk bertanding di situ.

"Mulanya memang saya nak bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu jika kerusi disandang Ahli Parlimen PKR, Zulkifli Nordin diisytiharkan kosong oleh mahkamah tetapi kes itu mungkin dilengahkan akibat kerenah undang-undang.

"Jadi, saya akan kembali kepada pengundi di Permatang Pauh meminta mandat mereka untuk membolehkan saya kembali ke Parlimen. Malah Wan Azizah sendiri sudah menyatakan kesediaannya memberi laluan kepada saya ketika berkempen pada pilihan raya lalu," katanya.

Anwar menafikan Permatang Pauh menjadi pilihan kerana ia kawasan lamanya dan dianggap kerusi selamat untuk PKR, sebaliknya menegaskan sedia bertanding di mana pun kerusi termasuk

Bandar Tun Razak yang ditawarkan penyandangnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim atau Gombak yang diwakili Mohamed Azmin.

Katanya, beliau menganggap semua kerusi Parlimen sebagai kawasan selamat berdasarkan sentimen rakyat pada masa sekarang.

Beliau juga menyangkal dakwaan pengumuman itu dibuat mengejut berikutan wujudnya khabar angin sejak kelmarin bahawa beliau mungkin ditahan dalam tempoh 48 jam.

Berita Harian

No comments: