Friday, August 01, 2008

Reaksi Anwar Ibrahim

PENASIHAT PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada pengorbanan isterinya, Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya, sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Anwar berkata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

Katanya, pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh keputusannya bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Menurutnya lagi, tokoh utama DAP Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menghadiri sidang akhbar tersebut sebagai menyatakan sokongannya.

Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

"Sebelum ini saya berhasrat bertanding di Kulim-Bandar Baharu, tetapi setelah melihat kerenah pentadbiran dan undang-undang, petisyen yang sedang berlangsung, kami tidak jangka akan selesai dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah melepaskan kerusi parlimennya, Anwar berkata, ia akan dimaklumkan minggu depan.

Beliau berkata, perkata itu akan dibincangkan dengan dua lagi parti dalam Pakatan.

Ditanya sama ada pilihan itu dibuat kerana Permatang Pauh merupakan kawasan yang paling selamat untuknya, secara berseloroh beliau berkata "semua kerusi agak selamat" untuknya.

Diminta memberikan ulasan jika bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu, Anwar hanya menjawab: "Itu keputusan Umno."

Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.

Beliau berkata, sasarannnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September depan seperti yang disebut-sebut beliau "masih seperti dijadualkan".

Sumber: Malaysiakini

No comments: