Wednesday, August 06, 2008

Hamid Albar: Cadangan boikot rugikan Umno

PUTRAJAYA: Tindakan memboikot pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh hanya merugikan Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, BN mesti bertanding bagi menjamin kebajikan rakyat di kawasan berkenaan, walaupun ia membabitkan kos pengendalian yang tinggi.

"Umno mesti bertanding dan selaku ahli kita hendaklah menyerahkan kepada kepemimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon," katanya kepada wartawan selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, supaya parti itu memboikot pilihan raya kecil itu.

Hadir sama, dua Timbalannya, Datuk Chor Chee Heung dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Mengenai persiapan polis untuk pilihan raya kecil itu, Syed Hamid berkata, bilangan anggota yang akan ditempatkan di kawasan berkenaan cukup untuk memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

"Tidak perlulah untuk mengumumkan jumlah anggota yang akan ditempatkan di Permatang Pauh kerana yang pasti jumlahnya mencukupi untuk memastikan kelancaran pilihan raya berkenaan sesuai dengan tanggungjawab kita menjaga ketenteraman awam," katanya. - Berita Harian

No comments: